KUMPULAN WANG AMANAH PELAJAR MISKIN (KWAPM)

TABUNG KUMPULAN WANG AMANAH PELAJAR MISKIN (KWAPM)

PENGENALAN & LATARBELAKANG PENUBUHAN

Keprihatinan Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) untuk merapatkan jurang pendidikan yang wujud merupakan satu agenda utama dalam meningkatkan kecemerlangan pendidikan selaras dengan aspirasi Pelan Induk Pembangunan Pendidikan (PIPP) 2006-2010. Sehubungan itu, segala usaha yang berkaitan dengan Bantuan Persekolahan kepada golongan yang berkelayakan akan sentiasa menjadi keutamaan KPM.
Oleh yang demikian, Kementerian Pelajaran Malaysia telah menubuhkan Tabung Kumpulan Wang Amanah Pelajar Miskin (KWAPM) pada tahun 2003 di bawah seksyen 10 Akta Tatacara Kewangan 1957. Objektif utama penubuhannya adalah untuk membantu golongan ibu bapa murid yang berpendapatan rendah dan tidak berkemampuan untuk menghantar anak mereka ke sekolah dengan harapan berupaya mengurangkan jurang peluang pendidikan di antara bandar dan luar bandar. Adalah menjadi hasrat KPM untuk membasmi murid yang tercicir daripada persekolahan akibat kemiskinan di samping memberikan golongan ini akses pendidikan yang sama rata dalam menjana kecemerlangan negara.
Penubuhan tabung ini juga adalah selaras dengan pelaksanaan Dasar Pendidikan Wajib yang berkuatkuasa mulai Januari tahun 2003 di bawah Seksyen 29A Akta Pendidikan 1996 (akta 550) yang mana mewajibkan ibu bapa menghantar anak mereka bersekolah mulai umur tujuh tahun (pendidikan rendah).

SYARAT DAN KRITERIA KELAYAKAN

Murid penerima bantuan KWAPM mestilah mematuhi kriteria kelayakan seperti berikut:-
  1. Murid miskin warganegara Malaysia Tahun 1 hingga Tingkatan 1/ Peralihan yang bersekolah di Sekolah Rendah/Menengah Kerajaan dan Bantuan Kerajaan
  2. Murid miskin yang Ketua Isi Rumah (KIR) berdaftar dengan eKASIH dan disahkan status kemiskinannya sebagai MISKIN atau MISKIN TEGAR
  3. Murid miskin yang pendapatan keluarganya berada di bawah *Paras Garis Kemiskinan (PGK) Nasional seperti tertera di bawah:-
    WILAYAHMISKINMISKIN TEGAR
    ISI RUMAHPER KAPITAISI RUMAHPER KAPITA
    Sem. M'siaRM 720RM 180RM 430RM 100
    BandarRM 740RM 185RM 420RM 100
    Luar BandarRM 700RM 160RM 440RM 100
    Sabah & LabuanRM 960RM 200RM 540RM 110
    BandarRM 970RM 200RM 540RM 110
    Luar BandarRM 940RM 190RM 540RM 110
    SarawakRM 830RM 190RM 520RM 115
    BandarRM 860RM 190RM 530RM 120
    Luar BandarRM 810RM 190RM 500RM 110
    *Sumber: Unit Perancang Ekonomi (EPU), Jabatan Perdana Menteri.
  4. Murid Orang Asli yang berdaftar dengan eDamak dan disahkan status kemiskinannya sebagai MISKIN atau MISKIN TEGAR.
  5. Murid Penan yang bersekolah di Sekolah Penan.
  6. Murid BUKAN penerima bantuan kewangan persekolahan seperti Biasiswa Kecil Persekutuan (BKP), Biasiswa Sukan (BS), Elaun OKU daripada KPM, biasiswa Kerajaan Negeri, biasiswa swasta dan mana-mana yayasan.

Kadar dan Jenis Bantuan

Jenis dan kadar bantuan KWAPM adalah seperti berikut:-
MuridBantuan Am Persekolahan*Bantuan Bulanan**
Sekolah RendahRM200 bagi seorang murid setahunRM25 seorang untuk tempoh 10 bulan bagi murid berstatus MISKIN

RM50 seorang untuk tempoh 10 bulan bagi murid berstatus MISKIN TEGAR
Sekolah MenengahRM300 bagi seorang murid setahunRM30 seorang untuk tempoh 10 bulan bagi murid berstatus MISKIN

RM60 seorang untuk tempoh 10 bulan bagi murid berstatusMISKIN TEGAR
Nota:

* Bantuan Am Persekolahan meliputi Bantuan Pakaian Seragam Sekolah /Bantuan Yuran Persekolahan/Yuran Peperiksaan/Bantuan Peralatan Persekolahan dan Bantuan Kes Kecemasan
** Bantuan Bulanan adalah tertakluk kepada kedudukan kewangan Tabung KWAPM.
Kadar dan jenis bantuan yang diberikan ini adalah tertakluk kepada keupayaan dana Tabung KWAPM dan perubahan boleh dibuat oleh pihak Jawatankuasa Pengurusan KWAPM di peringkat Kementerian yang dipengerusikan oleh Ketua Setiausaha KPM.

Cara Agihan Bantuan KWAPM

Bantuan kewangan yang diterima melalui dana Tabung KWAPM ini boleh diagihkan oleh Pengetua/Guru Besar kepada murid yang telah disahkan layak menerima bantuan melalui cara berikut: -
BILJENIS BANTUANCARA AGIHAN
1.Bantuan Am Persekolahan

(Pakaian seragam sekolah, peralatan sekolah dan lain-lain keperluan persekolahan murid)
  1. Masuk ke akaun murid; atau
  2. Wang Tunai; atau
  3. Barangan
2.* Bantuan Bulanan

(Wang saku dan lain-lain perbelanjaan harian murid)
  1. Masuk ke akaun murid; atau
  2. Wang Tunai
* Nota: Bantuan Bulanan boleh dibayar secara bulanan atau sekaligus.

Tatacara Permohonan Bantuan KWAPM

Semua murid yang KIR berdaftar dengan sistem eKASIH dan murid Orang Asli di bawah Sistem eDamak yang telah disahkan sebagai MISKIN atau MISKIN TEGAR akan diberikan bantuan KWAPM secara automatik tanpa perlu mengemukakan permohonan. Sistem eKASIH diselaraskan oleh Unit Penyelarasan dan Pelaksanaan (ICU), Jabatan Perdana Menteri (JPM) manakala Sistem eDamak diselaraskan oleh Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA).
Bagi KIR yang belum berdaftar dengan sistem eKASIH, mereka boleh membuat permohonan melalui laman webhttp://www.ekasih.gov.my
Namun begitu, pembayaran bantuan KWAPM hanya boleh dilaksanakan selepas pemohon dibanci oleh pihak Unit Penyelarasan dan Pelaksanaan (ICU), Jabatan Perdana Menteri (JPM) dan disahkan berada dalam kategori MISKIN atau MISKIN TEGAR.
Bagi murid Penan (yang bersekolah di sekolah Penan), pihak sekolah perlu mengemukakan permohonan menggunakan Borang Rumusan Permohonan (BRP) dan dikemukakan kepada KPM pada 1 Oktober tahun sebelum (bagi murid Tahun 2 hingga 6) dan pada 1 Februari tahun semasa (bagi murid Tahun 1 dan Tingkatan 1).
Bermula tahun 2011, Mesyuarat Pengurusan Tertinggi KPM pada 18 Mac 2011 telah memutuskan bahawa pembayaran bantuan KWAPM akan diperluaskan kepada murid Tahun 1 hingga Tingkatan 1/Peralihan yang dikenalpasti layak daripada Data Sedia Ada KPM (DSA) di samping data eKASIH dan eDamak. Ia selaras dengan keputusan Mesyuarat Jemaah Menteri pada 12 Januari 2011 dan Mesyuarat Majlis Tindakan Negara (MTN) pada 6 Ogos 2010 yang memutuskan bahawa sekiranya terdapat mana-mana kemiskinan yang belum disenaraikan tetapi Kementerian dan agensi merasakan ianya adalah layak diberikan bantuan, maka bantuan boleh dipertimbangkan berikutan sistem eKASIH masih dalam fasa permulaan dan belum dapat dibuat secara menyeluruh.
Permohonan DSA dibuat dengan mengisi Borang Permohonan Individu KWAPM di peringkat sekolah. Borang tersebut diedarkan kepada murid miskin yang pendapatan keluarganya berada di bawah Paras Garis Kemiskinan (PGK) Nasional berdasarkan maklumat yang diperolehi daripada Sistem Maklumat Murid (SMM) di peringkat sekolah.
Pihak sekolah akan membuat pemilihan murid yang layak melalui Mesyuarat Jawatankuasa Pengurusan Bantuan Peringkat Sekolah yang dipengerusikan oleh Guru Besar/Pengetua sekolah. Jawatankuasa ini dianggotai oleh Penolong Kanan Hal Ehwal Murid (HEM) dan sekurang-kuranganya dua (2) orang wakil ibu bapa daripada Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG). Jawatankuasa ini bertanggungjawab untuk menyemak dan memperakukan murid yang layak menerima bantuan KWAPM.
Setelah murid yang layak dikenalpasti dan dipersetujui oleh jawatankuasa, pihak sekolah akan mengumpulkan semua maklumat yang diperolehi dengan menyediakan Borang Rumusan Permohonan yang lengkap dan menghantarkan borang tersebut ke Pejabat Pelajaran Daerah (PPD) dan Jabatan Pelajaran Negeri (JPN) untuk disemak/disahkan. JPN merupakan agensi yang bertanggungjawab untuk menghantar senarai nama yang telah disemak/disahkan ke Bahagian Kewangan KPM untuk diproses.
Bahagian Kewangan akan membuat semakan terakhir sebelum proses pembayaran dibuat. Peruntukan bagi bantuan KWAPM akan dikreditkan terus ke akaun sekolah melalui Electronic Fund Transfer (EFT). Pada peringkat ini, Jawatankuasa Pengurusan Bantuan Peringkat Sekolah pula perlu memainkan peranan dengan memantau proses agihan bantuan kepada semua murid yang layak berdasarkan syarat-syarat dan peraturan yang berkuatkuasa.