PPPM atau akronimnya Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia merupakan
usaha Kementerian Pendidikan Malaysia untuk melonjakkan sistem pendidikan
Negara untuk berada dalam kalangan negara sepertiga teratas sistem pendidikan
terbaik di dunia. Buat julung kalinya pandangan daripada pihak awam diambil
kira dalam penggubalan Pelan Pendidikan melalui 16 Dewan Terbuka di 14 negeri,
20 meja bulat, lebih 200 memorandum - 7000 syor diterima dan ditimbangkan dalam
PPPM. Pelan PPPM ini menggariskan 5 aspirasi sistem dan 6 aspirasi murid untuk
dicapai melalui perubahan yang perlu berlaku melalui 11 Anjakan dan
dilaksanakan dalam Tiga Gelombang.
ASPIRASI SISTEM
1.
AKSES
100% enrolmen merentas semua peringkat
pendidikan daripada prasekolah hingga menengah atas menjelang tahun 2020.
2.
KUALITI
Negara dalam
kelompok sepertiga teratas dalam pentaksiran antarabangsa seperti TIMSS dan
PISA dalam tempoh 15 tahun.
3.
EKUITI
50% pengurangan
dalam jurang pencapaian (bandar-luar bandar,sosioekonomi,gender) menjelang
tahun 2020.
4.
PERPADUAN
Sistem pendidikan yang menawarkan perkongsian
pengalaman dan nilai kepada kanak-kanak dengan menghargai kepelbagaian.
5.
KECEKAPAN
Sistem yang
memaksimumkan keberhasilan murid mengikut peruntukan sedia ada.
ASPIRASI MURID
Sistem pendidikan Malaysia berhasrat memastikan setiap murid
mencapai potensi sepenuhnya. Setiap pemimpin sekolah, guru, ibu bapa, dan
masyarakat mempunyai peranan penting dalam memastikan generasi muda ini
mencapai aspirasi yang diharapkan.
Pelan ini akan terus menterjemahkan semangat Falsafah
Pendidikan Kebangsaan yang merencanakan pendidikan seimbang sebagai asas
mencapai aspirasi murid. Perkara ini selari dengan maklum balas daripada Dialog
Nasional. Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia juga mengambil pengajaran
daripada sistem pendidikan berprestasi tinggi untuk membangunkan ciri-ciri
atribut dan kecekapan tertentu yang diperlukan oleh murid untuk berjaya dan
berkembang maju dalam dunia global yang semakin mencabar.
Sehubungan itu, semangat Falsafah Pendidikan Kebangsaan tentang pendidikan
seimbang diperlihatkan dalam enam ciri (Ekshibit 2-3). Ciri ini bukan sahaja
menekankan kepentingan pengetahuan, tetapi juga pembangunan kemahiran pemikiran
kritis, kreatif, dan inovatif; kemahiran memimpin; kemahiran dalam bahasa
Malaysia dan bahasa Inggeris; sahsiah dan nilai, serta semangat identiti
nasional yang kuat. Ciri ini turut memberi penekanan kepada usaha bagi
membolehkan semua murid memberikan sumbangan yang bermakna kepada keluarga,
masyarakat, dan negara.
1. Pengetahuan
Pada peringkat paling asas, setiap murid perlu memiliki keupayaan literasi dan
numerasi sepenuhnya. Ciri ini melengkapkan mereka dengan kemahiran hidup asas,
serta berfungsi secara berkesan dalam masyarakat bagi membolehkan mereka
memupuk nilai untuk diri sendiri, masyarakat dan negara. Di samping itu,
penting bagi murid menguasai mata pelajaran teras seperti Bahasa Malaysia,
Bahasa Inggeris, Matematik, Sains dan Sejarah. Mereka juga digalakkan untuk
mendapatkan maklumat dan pengetahuan dalam bidang lain, seperti seni, muzik dan
sukan. Selain pengetahuan dalam bidang ini, murid juga perlu mempunyai
keupayaan mengaplikasi pengetahuan ini dalam situasi harian.
2. Kemahiran berfikir
Setiap murid perlu membina kemahiran inkuiri dan belajar cara untuk terus
mendapatkan pengetahuan sepanjang hayat supaya boleh menghubung kait pelbagai
pengetahuan, dan mewujudkan pengetahuan baharu. Kemahiran berfikir aras tinggi
dan kemampuan untuk melakukan inovasi amat kritikal dalam dunia teknologi yang
berkembang pesat. Setiap murid perlu menguasai pelbagai kemahiran kognitif yang
penting:
Pemikiran Kreatif dan Inovatif: kemampuan menginovasi,
menjana kemungkinan baharu, dan mencipta idea atau pengetahuan baharu;
Pemikiran Kritis dan Penaakulan: keupayaan menganalisis
maklumat, menjangka masalah dan mendekati isu secara kritis, logik, induktif,
dan deduktif bagi mencari penyelesaian, danakhirnya membuat keputusan;
dan
Keupayaan Belajar: keupayaan memacu pembelajaran sendiri,
dengan kemampuan menghargai nilai pembelajaran sepanjang hayat.
Sistem pendidikan negara perlu meningkatkan kemahiran murid dalam bidang ini
seperti yang digambarkan melalui skor TIMSS dan PISA sejak lima tahun lepas.
Skor TIMSS dan PISA 2009+ menunjukkan bahawa murid kurang mampu mengaplikasi
pengetahuan serta berfikir secara kritis di luar konteks akademik biasa.
Sehubungan itu, adalah amat penting bagi sistem pendidikan negara membantu
setiap murid memperoleh kemahiran berfikir.
3. Kemahiran memimpin
Kemampuan bekerja dengan berkesan dan memimpin orang lain
adalah penting, terutamanya dalam dunia yang semakin saling berkait. Dalam
Dialog Nasional, kepentingan memupuk kepimpinan dan keupayaan bekerja secara
berkesan dalam satu pasukan bagi setiap murid sering dibangkitkan. Sistem
pendidikan berusaha membantu setiap murid mencapai potensi masing-masing
sepenuhnya melalui pelibatan sebagai pemimpin, serta bekerja dalam kumpulan.
Dalam konteks sistem pendidikan, kepimpinan mempunyai empat unsur:
Keusahawanan: mengambil inisiatif untuk mewujudkan dan
membangunkan penyelesaian sendiri, dan bagi tujuan itu sanggup membuat
pelaburan daripada sumber sendiri, serta terdoronguntuk memastikan penyelesaian
itu dizahirkan;
Berdaya tahan: membina cara berfikir yang konstruktif serta
mampu menghadapi rintangan;
Kecerdasan emosi: berupaya memahami dan bekerja secara
berkesan dengan orang lain serta mampu mempengaruhi mereka secara positif;
dan
Ketrampilan komunikasi: berupaya memberikan pendapat dan
hasrat secara lisan dan bertulis dengan jelas.
Sekolah perlu menggunakan peluang yang disediakan di dalam bilik darjah melalui
aktiviti berasaskan projek dan kerja kumpulan, dan aktiviti di luar bilik
darjah melalui sukan, seni, serta aktiviti kokurikulum dalam membangunkan keperibadian
murid.
4 Kemahiran dwibahasa
Setiap murid akan menguasai bahasa Malaysia sebagai bahasa
kebangsaan, dan bahasa Inggeris sebagai bahasa kedua dan bahasa komunikasi
antarabangsa. Setiap murid juga akhirnya akan berpeluang mempelajari bahasa
tambahan. Kepelbagaian Malaysia yang unik dan warisan berbilang budaya
memberikan kelebihan daya saing kepada semua. Murid akan terus berpeluang untuk
mempelajari bahasa Cina dan Tamil di sekolah jenis kebangsaan. Kini, sesetengah
sekolah kebangsaan juga menyediakan peluang untuk mempelajari bahasa ketiga
seperti bahasa Cina, Tamil, Arab, Iban, dan Kadazan Dusun. Pada peringkat
menengah, peluang ini diperluas untuk meliputi bahasa antarabangsa lain.
Selepas jangka masa tertentu, semua murid akan digalakkan untuk belajar
sekurangkurangnya tiga bahasa bagi membolehkan mereka bekerjasama dan
berkomunikasi secara berkesan dengan rakan dalam kalangan rakyat Malaysia dan
juga negara jiran dalam dunia global masa ini.
5. Etika dan kerohanian
Sistem pendidikan akan mempersiapkan setiap murid supaya
berani menghadapi cabaran masa depan, menyelesaikan konflik secara aman,
membuat keputusan yang wajar dalam situasi kritikal, dan mempunyai keberanian
melakukan apa yang betul. Peneka nan diberikan kepada setiap murid dengan
mewujudkan satu set prinsip, termasuk nilai bersama yang kukuh yang didukung
oleh semua rakyat Malaysia:
Kerohanian: mempunyai pegangan agama yang kuat dan
mengamalkannya sebagai asas hidup, serta mendukung standard moral yang tinggi.
Integriti: mempunyai keberanian, disiplin, dan semangat
untuk melakukan perkara yang betul; dan
Tanggungjawab sivik: bertindak untuk kebaikan negara,
mengambil berat terhadap orang lain dan alam sekitar, dan memiliki keupayaan
yang mendalam untuk memberikan sumbangan kepada masyarakat.
6. Identiti nasional
Rakyat Malaysia perlu mempunyai perasaan tidak berbelah bahagi tentang identiti nasional dan berpegang teguh dengan prinsip Rukun Negara untuk memupuk perpaduan dan masa depan Malaysia. Setiap murid tanpa mengira etnik, kepercayaan, taraf sosioekonomi atau lokasi harus berbangga menjadi rakyat Malaysia. Pencapaian matlamat patriotisme ini memerlukan semangat keterangkuman tinggi yang diperoleh dengan belajar memahami perbezaan dan bertolak ansur, menerima dan menghormati orang lain, serta hidup bersama dalam kepelbagaian masyarakat Malaysia. Identiti nasional juga memerlukan setiap murid memahami sejarah Malaysia, berkongsi pengalaman dalam dan luar sekolah, dan berkongsi aspirasi untuk masa depan Malaysia.